Biography
Muhammad Naim Daniel bin Baharin (Jawi: نعيم دانيال; lahir September 9 1997) ialah seorang pelakon, penyanyi, penulis lagu dan komposer Malaysia. Sepanjang kerjayanya sebagai pelakon, beliau telah membintangi sejumlah drama TV termasuk Ema Emyliana, Pia, Lelaki Lingkungan Cinta, Projek: High Council dan I.D. serta filem termasuk 29 Februari dan Bisik Pada Langit. Kerjaya muzik beliau bermula dengan melancarkan single sulungnya, “Sekali Lagi” yang dikeluarkan pada 2018
Naim Daniel mula berkecimpung dalam dunia lakonan sebagai pelakon kanak-kanak. Peranan lakonan pertama Naim ialah pada 2008 menerusi siri drama Internet, Jelma yang bersiaran di laman web gua.com.my. Sebagai pelakon baru ketika itu, Naim berlakon bersama pelakon berpengalaman termasuk Norman Hakim, Fauziah Nawi dan Aida Aris, yang mana beliau memegang watak sebagai Reza yang memiliki personaliti berbeza berbanding kanak-kanak lain.
Selepas Jelma, Naim muncul pula dalam drama Cucu Betong bersama Fizz Fairuz, Ezany Nizariff dan Sheila Rusly dengan memegang watak sebagai Raqib. Beliau muncul dalam dua siri drama televisyen serentak pada 2011, iaitu Gemilang sebagai Saifullah kecil dan Cinta Elysa sebagai Imran, kedua-dua drama ini disiarkan di TV3.
Pada tahun 2012, Naim memegang watak sebagai Ibrahim dalam telefilem bertajuk Sebelum Kiamat yang berkisarkan tentang Ibrahim yang berhasrat ingin bertemu dengan ibu kandungnya yang telah terpisah daripadanya sejak kecil, sebelum kedatangan Hari Kiamat. Telefilem ini turut dibintangi oleh Soffi Jikan, Zamarul Hisham, Sherie Merlis dan Noorkhiriah. Pada tahun 2022, Naim meneruskan kerjaya lakonannya dengan membintangi siri televisyen astro iaitu Projek: High Council yang turut dibintangi oleh Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Nadhir Nasar dan lain-lain