Biography
Anna Ellisa Gustin Jobling binti Abdul Rahman Jobling (Jawi: آنا إليسا جوستين جوبلينج عبد الرحمن جوبلينج; lahir 14 Ogos 2000) merupakan seorang model, pelakon dan pengacara Malaysia. Beliau merupakan bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019, di mana beliau ialah pemenang tempat keempat. Beliau telah membintangi beberapa drama TV seperti Shah Alam 40000 dan Keluarga Baha Don, namun lebih dikenali menerusi lakonannya dalam drama Melur Untuk Firdaus
Pada 14 Ogos 2000, Anna Jobling dilahirkan di KL sebagai anak tunggal kepada bapanya yang berbangsa Inggeris yang berasal dari United Kingdom dan ibunya yang berbangsa Melayu dari Melaka.[6] Bapanya bekerja sebagai jurutera di syarikat minyak dan gas manakala ibunya bekerja sebagai pengurus. Dibesarkan dalam kepercayaan agama Islam, Anna mendapat pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa.
Sebelum menyertai Dewi Remaja, Anna Jobling memulakan kerjaya peragaan dengan menyertai beberapa pertandingan ratu cantik termasuk Miss Melaka dan Miss Pahang. Pada usia 15 tahun, ibunya menghantarnya ke akademi peragaan yang dikendalikan oleh Amber Chia dan sejak itu, beliau mula bergiat aktif dalam bidang peragaan dengan membintangi iklan televisyen dan sebagai penghias muka depan majalah.
Beliau dipilih menjadi salah seorang daripada 12 peserta Dewi Remaja 2018/19 yang turut disertai oleh Haneesya Hanee, Zeera Azizi, Aween Ismail dan Arena Lieya. Beliau dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat.
Kerjaya lakonan Anna bermula apabila beliau ditawarkan berlakon dalam filem pertamanya Pasal Kau! arahan Adrian Teh lakonan bersama Hairul Azreen dan Janna Nick. Beliau melakonkan watak sebagai Emelia. Drama pertama lakonan beliau ialah Keluarga Baha Don musim pertama yang disiarkan di platform penstriman Viu, diikuti dengan drama One Two Hantu yang bersiaran di Awesome TV.
Beliau mula mendapat perhatian meluas menerusi drama Shah Alam 40000 yang bersiaran di slot Akasia TV3 dengan memegang watak sebagai Shafinaz Mckenzie. Untuk lakonannya dalam drama ini, beliau berlatih bertutur dalam bahasa Melayu ketika di lokasi penggambaran. Beliau kemudiannya membintangi filem keduanya Penunggang Agama 2 dengan melakonkan watak Intan dan bekerja di bawah arahan Syafiq Yusof.
Pada tahun 2022, beliau digandingkan bersama Meerqeen dalam drama Melur Untuk Firdaus dengan melakonkan watak Melur. Drama ini menjadi sohor kini di media sosial dengan nama beliau menjadi tular sehingga ke luar negara. Beliau kini semakin dikenali ramai dan banyak diundang dalam program-program televisyen.
Pada Julai 2022, namanya tersenarai sebagai 100 Wajah Tercantik 2022 (100 Most Beautiful Faces of 2022) oleh TC Candler sekali gus menjadi calon tunggal dari Malaysia untuk kempen tahunan tersebut